Isnin, 7 September 2020

UMNO DIPIMPIN SI TAMAK, PERIKATAN NASIONAL DIPENUHI PENGECUT

  1. Semasa kerajaan Malaysia diterajui oleh Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketua-ketua sayap UMNO seperti Dato' Dr. Noraini Ahmad (Ketua Wanita UMNO), Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Ketua Pemuda UMNO) dan Dato' Zahida Zarik Khan (Ketua Puteri UMNO) sering menempelak kerajaan dengan kata-kata yang bertujuan menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan seperti "Pakatan Hancing", "rakyat menyesal undi PH", "padan muka mereka yang mengundi PH", "dulu undi PH kini dah menyesal" dan lain-lain tohmahan lagi.
  2. Zahida dan Asyraf Wajdi terutamanya pernah beberapa kali dengan lantang menegaskan UMNO tidak akan menerima sebarang idea penubuhan kerajaan pintu belakang. Namun, hari ini kerajaan yang namanya tidak berdaftar dengan ROS dan digelar sebagai Perikatan Nasional (PN) hasil pencerobohan pintu belakang dan tebuk melalui atap (seperti diakui oleh Dato' Seri Abdul Hadi Awang) menjadi pujaan hati ketiga-tiga ketua sayap UMNO ini. Sejak UMNO dapat kembali berkuasa menjadi sebahagian daripada kerajaan yang mentadbir, tidak pula kita dengar tentangan yang hebat daripada mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional meskipun pembentukan kerajaan PN ini bercanggah dengan pendirian mereka.
  3. Alasan lemah yang digunakan oleh ketua-ketua sayap ini adalah kerajaan hari ini "kerajaan YDP Agong", "kerajaan yang sah mengikut Perlembagaan", "kerajaan penyelamat" dan sebagainya.
  4. Tiada sesiapa mempertikaikan lantikan yang dibuat oleh YDP Agong. Namun, hakikatnya kerajaan hari ini ditubuhkan oleh mereka yang membelakangkan prinsip demokrasi. Lantikan YDP Agong itu cerita lain. Ia tidak perlu disentuh. Walaupun begitu, jika ia menjadi modal mereka untuk mempertahankan keabsahan kerajaan mereka, mengapa mereka mengatakan kerajaan dahulu sebagai "hancing", "Pakatun" dan sebagainya? Bukankah mereka juga menghina kerajaan YDP Agong yang ditubuhkan selepas PRU-14?
  5. UMNO sepatutnya mempertimbangkan secara serius cadangan Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah supaya UMNO keluar daripada kabinet Muhyiddin sekiranya masih berpegang kuat kepada pendirian untuk tidak menerima kerajaan pintu belakang.
  6. Mengapa perlu gelojoh untuk merampas kerajaan di pertengahan jalan seolah-olah tiada esok dengan alasan kononnya negara perlu diselamatkan daripada penguasaan DAP yang akan merosakkan negara? Setelah berjaya mengambil alih kerajaan, kuasa  kini telah berada di tangan, mengapa tidak diharamkan sahaja parti DAP yang dikatakan mengancam keselamatan negara?
  7. Kesudahannya, kita dapat lihat jawatan demi jawatan di dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) pula yang menjadi rebutan. Mereka yang tidak mempunyai kelayakan bersesuaian dilantik menerajui GLC tanpa ada rasa bersalah jikalau dikatakan menyalahgunakan kuasa. Mereka yang sedang berhadapan dengan kes rasuah di mahkamah juga dilantik menerajui GLC. Jawatan-jawatan utama di dalam kementerian diisi oleh saudara-saudara terdekat Menteri atau Timbalan Menteri. Kuasa di tangan digunakan sewenang-wenangnya untuk melanggar peraturan dan undang-undang. Seperti kata Datuk Nikah Kahwin yang merupakan salah seorang pembesar istana di dalam cerita Musang Berjanggut, "ini undang-undang kanda yang bikin, itu semua boleh padam".
  8. Rakyat perlu bangkit untuk menyedarkan kerajaan bahawa mereka tidak boleh menggunakan kuasa sesuka hati tanpa mandat yang jelas daripada rakyat. Kerajaan hari ini sedang bersenang-lenang menikmati kuasa yang baru diterima pada Mac yang lalu. 
  9. Rakyat perlu menghantar pesanan kepada kerajaan Perikatan Nasional, "jika anda takut untuk memecat keahlian Dato' Osman Sapian daripada BERSATU, terpulanglah. Tetapi jika anda terus takut untuk mengharamkan DAP yang anda sendiri katakan mengancam kedaulatan negara dan kedudukan orang Melayu, adalah lebih baik anda digelar PENGECUT NASIONAL!"  


Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2019



     Hantaran mesej yang dimuatnaik di laman FB Zahida 
                                        Zarik Khan





  Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan 
                               Agung UMNO 2018
      Klik pada gambar untuk menonton ucapan Ketua Pemuda UMNO


Ahad, 9 Ogos 2020

PENGGUNAAN LOGO BERSATU BLACKOUT ADALAH SATU JENAYAH - KATA HAMZAH ZAINUDDIN

 

  1. Semasa kumpulan penyokong Tun Dr. Mahathir yang dikenali sebagai BERSATU Blackout menanti dengan sabar kes saman Tun Dr. Mahathir dan 5 yang lain ke atas Muhyiddin Yassin bagi membatalkan keputusan pemecatan mereka daripada BERSATU, Hamzah Zainuddin nampaknya cuba untuk mengalihkan perhatian ahli melalui surat amaran yang dikeluarkan oleh beliau.
  2. Surat amaran beliau bertarikh 7 Ogos 2020 menekankan tentang salahlaku penggunaan logo BERSATU yang ditujukan kepada kumpulan Blackout kerana mengubah latar belakang merah pada logo BERSATU kepada warna hitam adalah satu jenayah.
  3. Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Pintu Belakang BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri memetik Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966 yang tidak dinyatakan huraiannya di dalam surat beliau adalah berbunyi - "Mana-mana orang atau pertubuhan yang menunjukkan apa-apa bendera, lambang, lencana atau lain-lain tanda yang tiada mendapat kelulusan oleh Pendaftar atau dengan melanggar mana-mana syarat yang dikenakan oleh Pendaftar adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, bolehlah dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga bulan atau denda tidak lebih daripada tiga ribu ringgit".
  4. Makin kasar nampaknya permainan Hamzah. Amaran bertarikh 7 Ogos 2020 ini dibuat beliau di waktu yang sama ahli-ahli BERSATU sudah mula menanti pengumuman penubuhan parti baharu oleh Tun Dr. Mahathir dengan penuh minat dan kedengaran pihak kepimpinan BERSATU yang menyokong Muhyiddin dan Hamzah sudah terasa bahang sokongan kepada Tun Dr. Mahathir dari dalam parti sudah semakin memuncak. 
  5. Amaran ini juga dipercayai dibuat beliau bagi mengelakkan BERSATU dikecam oleh rakan sekutunya, Muafakat Nasional, sebagai tidak mampu mengawal ahli parti sendiri sehingga kumpulan Blackout yang rata-ratanya masih berada di dalam BERSATU berani mencabar pihak Muafakat Nasional dengan bercadang meletakkan calon di PRK DUN Slim.
  6. Walau apapun yang cuba disampaikan oleh Hamzah, semua itu tidak penting lagi kepada penyokong Tun Dr. Mahathir kerana setelah Tun mengumumkan perancangannya untuk menubuhkan parti baru, segala bentuk logo atau apa sahaja yang berkaitan dengan parti BERSATU tidak lagi relevan untuk dijulang. Bahkan, ada yang sudah mula membakar baju, bendera dan mengerat kad keahlian kerana begitu marah dan kecewa terhadap BERSATU yang nyata sudah menyimpang jauh daripada matlamat asal penubuhannya.
  7. Selepas ini, Hamzah boleh tidur lena dan tidak perlu lagi risau benderanya disalahguna. Hamzah perlu sedar, mereka yang kecewa dengan BERSATU kebanyakannya adalah pengundi dan ahli asal BERSATU yang pernah menjulang bendera parti itu semasa berlawan dengan parti pimpinan Najib Kleptokrat secara langsung mahupun tidak. Ketika itu, Hamzah sendiri berada di dalam parti Najib Kleptokrat dan mencemuh lambang BERSATU.
  8. Usahlah begitu sombong menunjukkan seolah-olah dirinya amat sayang dan bangga dengan lambang BERSATU kerana sifat hipokrit itu hanya ditunjukkan untuk mendapatkan kuasa serta setelah memperoleh jawatan Menteri. Jika ahli-ahli asal BERSATU sudah berani meninggalkan parti dan lambang BERSATU, apa lagi yang tinggal untuk orang-orang yang sekadar melompat mencari nafas di dalam BERSATU seperti Hamzah Zainuddin? 
  9. Beliau sepatutnya rasa malu dan kembali sahaja ke dalam BN dan menjadi ahli Parti Progresif Rakyat (MyPPP) kerana UMNO sudah tidak mahu menerima beliau yang dianggap sebagai Najis Mughallazah (Najis paling berat yang perlu disamak untuk disucikan).

Khamis, 30 Julai 2020

KRISIS DUN SABAH : SERUAN "DEMI RAKYAT" KINI HANYA ALAT RETORIK SI TAMAK DAN PEMBOHONG

  1. Hari ini kecoh dengan senario pertentangan tindakan di antara pasukan Ketua Menteri Sabah yang sah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal dengan kumpulan pembangkang diketuai Tan Sri Musa Aman yang gilakan kuasa.
  2. Kegopohan Musa Aman mengumumkan beliau sudah mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan di Sabah semalam telah memakan diri apabila Dato' Seri Mohd Shafie Apdal mengambil langkah pantas memohon perkenan pembubaran DUN daripada Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin.
  3. Sekitar jam 2 petang ini, pihak Musa Aman membuat satu lagi sidang akhbar bagi mempertikaikan keabsahan pengumuman pembubaran DUN yang telah dibuat oleh Dato' Seri Shafie Apdal dalam sidang akhbar Ketua Menteri pada jam 1 tengahari. 
  4. Pasukan Musa Aman berpendapat pengumuman tersebut perlu dilakukan oleh pihak Istana dan bukannya Ketua Menteri. Selain itu, pihak Musa Aman juga mengatakan kepentingan dan keselamatan rakyat mesti diutamakan berbanding mendedahkan mereka kepada risiko penularan wabak Covid-19 jika pilihanraya negeri diadakan. Kata Musa Aman, pilihanraya akan membahayakan nyawa rakyat Sabah.
  5. Di sinilah tahap kecerdikan Musa Aman boleh dipertikaikan kerana kekecohan yang sedang berlaku ini berpunca daripada tindakannya sendiri yang cuba mengambil alih kerajaan dengan menyogok wakil rakyat kerajaan supaya beralih sokongan kepadanya di mana nama Hamzah Zainuddin juga disebut sebagai di antara watak penting dalam menjayakan kerja kotor mereka merasuah dan membeli wakil rakyat.
  6. Jika benar Musa Aman sayangkan rakyat, tiada sebab bagi beliau mencetuskan kekecohan peralihan kuasa ini melainkan terus memberikan ruang untuk Dato' Seri Shafie Apdal meneruskan tugasnya sebagai Ketua Menteri Sabah sehingga tamat penggal.
  7. Waktu dan ketika ini, sekitar jam 5.00 petang, pasukan Musa Aman sedang berbincang dengan pihak keselamatan Istana Negeri Sabah untuk memohon kebenaran mengadap TYT Tun Juhar Mahiruddin bagi menghalang keputusan pembubaran DUN diteruskan dan seterusnya memaklumkan bahawa mereka memiliki cukup majoriti untuk membentuk kerajaan.
  8. Dalam ketegasan pasukan Musa Aman mendakwa keputusan pembubaran DUN Sabah tidak sepatutnya diumumkan oleh Ketua Menteri, beliau perlu sedar bahawa dirinya telah menjadi Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun sejak Mac 2003 dan telah melalui empat Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai Ketua Menteri. Dalam keempat-empat PRU tersebut, beliau sendiri mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada proses pilihanraya serentak seluruh Malaysia kecuali DUN Sarawak setelah mendapat perkenan Tuan Yang Terutama negeri Sabah.
  9. Jadi, di mana kesilapan Dato' Seri Shafie Apdal apabila beliau mengumumkan pembubaran DUN setelah melalui proses yang sama? Nampaknya akal fikiran Musa tidak lagi Aman. 


Selasa, 28 Julai 2020

NAJIB, KEMPEN 'MALU APA BOSSKU' DAN MASALAH MENTAL

  1. Semasa kerajaan Malaysia dipimpin oleh YB Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembangkang banyak mendapat manfaat daripada kebebasan media yang diberikan. Akta Berita Palsu, ironinya diperkenalkan sebelum PRU14 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memberikan bonus point  kepada BN setelah ia dimansuhkan oleh kerajaan pimpinan YB Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usaha mereka yang kononnya mahu menjadi pembangkang berwibawa. Bonus point yang dimaksudkan ialah kebebasan dalam berkomunikasi dengan penyokong dan mencetuskan gelombang kebencian terhadap kerajaan.
  2. Kebebasan itu digunakan sepenuhnya untuk mereka menyemarakkan kempen "Malu Apa Bossku". Meski kadangkala Najib terlihat seperti "sewel" apabila bersungguh-sungguh memperlihatkan dirinya seorang yang teraniaya, kempen itu banyak memberi kesan kepada peningkatan sokongan pengundi yang diterjemahkan kepada 5 kemenangan BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highland, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Kimanis.
  3. Untuk rekod, kerajaan pimpinan YB Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah memenangi 5 PRK iaitu DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong, Parlimen Sandakan, dan Parlimen Port Dickson. PRK DUN Chini tidak diambil kira dalam perbandingan ini kerana ia berlaku setelah pentadbiran kerajaan beralih tangan kepada Perikatan Nasional.
  4. Sepanjang meyakinkan orang ramai bahawa beliau difitnah, modal bicara beliau ialah "Mengapa beliau masih tidak disabitkan bersalah jika benar skandal kewangan SRC International adalah satu kesalahan jenayah?
  5. Hari ini menjadi sejarah apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib sebagai bersalah ke atas ketujuh-tujuh pertuduhan terhadapnya iaitu 1 kesalahan penyalahgunaan kuasa (abuse of power), 3 kesalahan pecah amanah (criminal breach of trust) dan 3 kesalahan penggubahan wang haram (money laundering).
  6. Keputusan ini tentunya membuatkan para penyokong Najib tidak senang duduk kerana keyakinan dalam diri mereka telah terbentuk hasil daripada keberkesanan kempen "Malu Apa Bossku" bahawa Najib tidak bersalah. 
  7. Pada peringkat ini, sepatutnya para penyokong Najib berterima kasih kepada YB Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana pelaku jenayah kewangan seperti Najib tidak pernah diberi tekanan dan halangan dari segi kebebasan beliau untuk meraih sokongan sehingga ke hari beliau disabitkan bersalah oleh mahkamah.
  8. Apa yang tinggal dengan slogan "Malu Apa Bossku" kini mungkin lebih sesuai dengan slogan "Malu Apa Pencuriku".
       

Isnin, 20 Julai 2020

HAMZAH ZAINUDDIN MENYUSUP MASUK BERSATU ATAS ARAHAN NAJIB?

  1. Apakah tujuan Hamzah Zainuddin sertai BERSATU pada penghujung tahun 2018? Pastinya bukan untuk suka-suka? Adakah demi agama, bangsa dan negara? Mungkin jauh sekali.
  2. Beliau memperlihatkan sikap beliau yang benci terhadap Tun Dr. Mahathir sejak tahun 2016. Tetapi, bukankah agak janggal apabila beliau rela meletakkan rasa benci beliau terhadap Tun Dr. Mahathir ke tepi sehingga sanggup meninggalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Larut yang baru dimenangi setelah sepenggal memajakkan jawatan itu kepada proksi beliau Faizul Arby? 
  3. Beliau sanggup menerima cercaan dan hinaan daripada rakan-rakan beliau di dalam UMNO malah pernah satu ketika Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi melabel beliau dan 5 orang Ahli Parlimen UMNO yang bersama-sama beliau melompat ke BERSATU sebagai "Najis Mughallazah". Baca di sini.
  4. Apa pun alasan beliau, bukti yang ada ini cukup untuk menggambarkan isi hati beliau terhadap insan bernama Tun Dr. Mahathir. Muliakah kedudukan Tun Dr. Mahathir di mata Hamzah Zainuddin? Atau, sememangnya dari awal lagi kemasukan Hamzah Zainuddin ke BERSATU boleh diibaratkan seperti "ada udang di sebalik batu" dengan matlamat utamanya untuk menjatuhkan Tun Dr. Mahathir dari dalam. 



Klik pada video di bawah


Jumaat, 26 Jun 2020

NAMPAK TAK CERDIK, ADMIN PAGE NAJIB RAZAK SABOTAJ NAJIB

Menjawab tohmahan Najib Razak mengenai anak-anak Tun Dr. Mahathir dan kontrak kerajaan

  • Konsortium Perkapalan Bhd. (Mirzan Mahathir)
  1. Najib said : Was Mirzan your son when he built up Konsortium Perkapalan in the 1990s which eventually needed a bail out from Petronas via MISC in the economic crisis of 1998?
  • Jawapan
  1. Mirzan Mahathir mula terlibat dalam Lembaga Konsortium Perkapalan Bhd. (KPB) pada tahun 1992;
  2. Pada tahun tersebut, KPB membeli PNSL Bhd. iaitu satu syarikat berpengkalan di Malaysia;
  3. Pada tahun 1996, KPB membeli Pacific Basin Bulk Shipping Ltd. yang kemudiannya menjadi PNSL Ltd. yang berpengkalan di Hong Kong dengan harga USD $230 juta;
  4. MISC, syarikat milik Petronas yang menjalankan perniagaan berkaitan perkapalan mengumumkan akan membeli aset yang dimiliki oleh KPB;
  5. Pada akhir 1998, MISC membeli keseluruhan PNSL Ltd. dengan harga USD $55 juta. Harga ini amat rendah kerana Mirzan Mahathir telah memiliki PNSL Ltd. pada tahun 1996 pada harga USD $230 juta;
  6. MISC juga telah membeli aset-aset yang dimiliki oleh PNSL Ltd. iaitu 9 buah kapal (vessels) dan dua kontrak baru pembinaan kapal dengan harga USD $165 juta;
  7. Oleh itu, jumlah keseluruhan bayaran yang telah dibuat oleh MISC kepada KPB ialah USD $220 juta.
  8. Dengan wang bayaran daripada MISC tersebut, KPB menggunakan sebahagian besarnya untuk membayar hutang pinjaman. Hutang KPB berjaya dikurangkan namun masih belum dapat keluar sepenuhnya daripada hutang.
  • Kesimpulan
  1. MISC telah membeli aset dan kepentingan KPB ke atas PNSL Ltd. dengan harga yang lebih rendah atau dalam kata lain KPB menanggung kerugian sebanyak USD $10 juta;
  2. MISC dan Petronas memperoleh keuntungan melalui pembelian PNSL Ltd. termasuk aset-aset perkapalan dengan harga yang rendah (satu urusniaga yang baik kepada MISC, Petronas dan Kerajaan);
  3. KPB milik Mirzan Mahathir masih menanggung hutang selepas penjualan PNSL Ltd. dan keseluruhan aset perkapalan tersebut;
  4. Proses jual beli PNSL Ltd. dan keseluruhan aset perkapalannya daripada KPB kepada MISC bukan satu bentuk bail-out kerana penjual telah menanggung kerugian setelah menjual asetnya. Sebaliknya, pembeli telah memperoleh keuntungan kerana membeli aset-aset tersebut di bawah paras harga yang sepatutnya;
  5. TIADA KONTRAK KERAJAAN diberikan kepada KPB ketika Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Bersambung...

Sumber : Kelab Che Det

Selasa, 9 Jun 2020

BANYAK MANA WANG KERAJAAN?


NEGARA BANYAK DUIT ADALAH MITOS KERAJAAN PN

Sejak PN ambil alih pentadbiran Malaysia, laungan dan teriakan ini selalu berkumandang:

"Tun Dr Mahathir dan Lim Guan Eng tipu rakyat Malaysia!"

  1. Dikatakan kerajaan tidak mempunyai duit dan perlu berhutang untuk berbelanja tetapi apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, berbeza pula dakwaannya.
  2. Oleh kerana itu, ada NGO membuat laporan polis berkenaan masalah kewangan negara semasa rejim Pakatan Harapan memerintah lantas penubuhan RCI untuk siasat isu Bon Samurai, penjualan aset Khazanah, Tabung Haji, LTAT dan sebagainya dilaksanakan.
  3. Semenjak wabak COVID-19 melanda negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah empat kali umumkan pakej rangsangan ekonomi termasuk yang pertama diumumkan oleh Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri Interim :
    (I) Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) sebanyak RM10 bilion disuntik dalam ekonomi.

    (ll) PRIHATIN RM25 bilion.

    (III) PRIHATIN SME sebanyak RM10 bilion dan yang keempat PENJANA RM15 bilion; jumlah keseluruhan RM60 bilion.

  4. Rakyat menjangka Kerajaan PN tidak perlu meminjam kerana cukup mempunyai dana dan rizab yang besar, tidak seperti Kerajaan PH yang kedekut dan menipu rakyat kata tiada duit. Menteri Kewangan pula merupakan bekas pegawai bank, sudah tentu pandai cari duit dan bijak pula berbelanja.
  5. Apabila ditanya oleh pemberita di mana sumber kewangan bagi membiayai pakej rangsangan ini, Tengku Zafrul menjawab “We will be looking into the eco-system...”. Sudah terang lagi bersuluh sebenarnya beliau sendiri tidak jelas wang itu datang dari mana dan melalui apa.
  6. Akhirnya baru kita dapat tahu apabila beliau ditemu ramah oleh agensi berita Reuters dan dipetik oleh The Edge Markets bahawa Kerajaan akan berhutang untuk menampung pembiayaan pakej rangsangan COVID-19 ini dan akan menyebabkan defisit bajet menjadi sekali ganda dari yang telah diluluskan di dalam bajet 2020.
  7. Bajet 2020 yang dibentangkan oleh PH tahun lepas dan diluluskan akan menyaksikan defisit bajet sebanyak RM51.7 bilion atau 3.2% dari KDNK. Defisit ini akan ditampung melalui hutang awam. Dengan pakej rangsangan pula sebanyak RM60 bilion lagi perlu Kerajaan berhutang menjadikan jumlah hutang bagi tahun ini saja menjadi RM111.7 bilion atau 6.9% dari KDNK.
  8. Dengan jumlah hutang sebanyak RM111.7 bilion bagi tahun 2020 dicampur dengan hutang yang masih belum langsai akan menyebabkan hutang awam negara melebihi 55% dari KDNK dan ini memerlukan kelulusan dari parlimen.
  9. Jelaslah berdasarkan kenyataan YB Menteri Kewangan sebenarnya apa yang disebutkan oleh Tun Dr Mahathir dan Lim Guan Eng sebelum ini adalah benar, negara perlu berhutang jika bajet defisit. Saya ucapkan selamat membuat laporan polis kepada NGO yang berkenaan pada 12 Jun 2020 di IPD Dang Wangi.
YB Dato’ Wira Amiruddin Hamzah
Kubang Pasu, Kedah
9 Jun 2020

Ahad, 7 Jun 2020

KDN NAFI LANTIK, PAPAGOMO TIDAK LAYAK


  1. Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menafikan pelantikan Papagomo sebagai Pegawai Khas. Penafian tersebut dibuat melalui Setiausaha Politik Menteri dalam satu kenyataan media hari ini.
  2. Beria-ia betul kenyataan daripada Sayed Amir Muzakkir (Setiausaha Politik Menteri) memberi amaran untuk mengambil tindakan kepada pihak-pihak yang terus menularkan perkara tersebut. 
  3. Kalau betul mahu ambil tindakan, sila teruskan niat tersebut ke atas pentadbir (admin) laman facebook Perikatan Nasional Fans kerana laman tersebut yang mula-mula membuka cerita.
  4. Persoalannya, jika ia adalah satu salah faham, mengapa perlu mengugut untuk ambil tindakan? Bukankah boleh dibuat penafian sahaja? Hina sangatkah Papagomo sehingga Setiausaha Politik Menteri memberi amaran kepada sesiapa yang mengaitkan Papagomo dengan KDN? 
  5. Atau, ini satu lagi langkah sumbang?
p.s : Sayed Amir Muzakkir dan Wan Mohd Azri (Papagomo) sama-sama menganggotai barisan EXCO Pemuda UMNO Malaysia. Janganlah marah sangat pada Gomo, kalian bukankah seangkatan?



Khamis, 4 Jun 2020

LANGKAH SUMBANG KERAJAAN PN MAKIN SERIUS


Klik di sini
  1. Terkini, dikongsikan melalui laman facebook Perikatan Nasional Fans bahawa Wan Mohd Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo telah dilantik sebagai Pegawai Khas di Kementerian Dalam Negeri (KDN).
  2. Mungkinkah Hamzah Zainuddin berada di dalam tekanan yang amat sangat kerana diasak oleh Tun Dr. Mahathir tentang isu pemecatan menyebabkan Hamzah tidak dapat berfikir dengan baik sehingga melantik gomo ini menjadi Pegawai Khas? 
  3. Papagomo di dalam satu video dimuatnaik beliau di dalam laman youtube pernah menyebut "walaupun Azmin ni semburit, kita tutup sebelah mata lah".
  4. Azmin nak berdiam sahaja?



MUHYIDDIN DITIKAM DARI BELAKANG



  1. Pernah terfikir kenapa Muafakat Nasional tidak didaftarkan secara rasmi?
  2. Pernah terfikir kenapa Perikatan Nasional tidak didaftarkan secara rasmi?
  3. Muafakat Nasional cuma ada Piagam/ Perjanjian.
  4. Perjanjian politik biasanya tidak kekal. Pernah dengar istilah "hari ni kawan, esok lawan"?
  5. Perikatan Nasional cuma ada MoU a.k.a Memorandum Persefahaman.
  6. Persefahaman tidak mustahil berlaku perselisihan. MoU parti politik tidak seperti MoU di dalam dunia korporat dan lain-lain.
  7. Gabungan parti politik yang berdaftar secara sah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sehingga kini hanya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. 
  8. Untuk memasuki pilihanraya, pilihan yang ada cuma Pakatan Harapan (HARAPAN) atau Barisan Nasional (BN).
  9. Pasukan Muhyiddin, anda di mana? 


Selasa, 2 Jun 2020

PENGANIAYAAN TERANCANG, TAKTIK TERDESAK KUASAI BERSATU

  1. Tokoh pengasas BERSATU, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan dalam satu kenyataan media pada hari ini bahawa beliau dan 4 Ahli Parlimen BERSATU lain yang dilucutkan keahlian masih merupakan ahli parti yang sah.
  2. Kenyataan media tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Agung BERSATU yang juga sah iaitu YB Senator Datuk Wira Marzuki bin Yahya.
  3. Demi menguasai BERSATU, timbul hujah-hujah dangkal yang menekankan Muhyiddin sebagai pengasas tunggal BERSATU dengan menjadikan maklumat di wikipedia sebagai asas. 
  4. Wikipedia menjelaskan di dalam Sejarah Penubuhan BERSATU bahawa Muhyiddin adalah individu yang menghantar borang pendaftaran penubuhan BERSATU ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Atas alasan itu, kumpulan Muhyiddin mengatakan parti BERSATU adalah milik Muhyiddin.
  5. Justeru, penganiayaan sepertimana yang sedang berlaku ke atas Tun Dr. Mahathir dan 4 Ahli Parlimen lain dibuat bagi merealisasikan pemilikan mutlak Muhyiddin ke atas BERSATU.
  6. Apa pun alasan kumpulan Muhyiddin, adalah diketahui dengan jelas bahawa nombor pendaftaran keahlian Tun Dr. Mahathir adalah 001 diikuti Muhyiddin 002 dan Datuk Seri Mukhriz 003. 
  7. Khalas!



        










PERANG PERSEPSI, KUMPULAN MUHYIDDIN CABAR TUN

  1. Dalam dua hari kebelakangan ini, telah tular gambar yang diambil daripada satu perjumpaan di rumah YB Tun Dr. Mahathir Mohamad melibatkan kehadiran YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden BERSATU), YB Dato' Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), YB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali (semasa itu Timbalan Presiden PKR), YB Dato' Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden Warisan), YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu @PBB) YB Dato' Sri Fadillah Yusof (Naib Presiden PBB) dan Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO).
  2. Jika ia adalah sebuah video, tentunya lebih mudah untuk orang ramai mengenalpasti punca yang menemukan pemimpin-pemimpin tertinggi parti di atas. Malangnya ia berbentuk gambar dan terdedah kepada penceritaan tersendiri oleh sesiapa yang ingin memberi tafsiran mengikut kepentingan masing-masing.
  3. Penjelasan oleh mereka yang pro Muhyiddin tentu bertujuan untuk membina persepsi bahawa Tun Dr. Mahathir telah berpaling tadah. Namun, penjelasan bersahaja oleh pro Tun Dr. Mahathir dilihat lebih meyakinkan.
  4. Pasukan pro Muhyiddin kini sedang menduduki tampuk kuasa kerajaan. Oleh itu, tentulah apa sahaja perlu dilakukan untuk memperlihatkan tindakan mereka membentuk Kerajaan Tebuk Atap adalah wajar dan tidak perlu dipertikaikan. Malah, mereka mengheret nama YDP Agong untuk mewajarkan tindakan mereka. 
  5. Tun Dr. Mahathir tidak pernah sekali-kali menafikan lantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri oleh YDP Agong. Apa yang sedang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir sekarang adalah mempersoalkan keabsahan angka sokongan Ahli Dewan Rakyat yang dipersembahkan untuk pertimbangan baginda YDP Agong oleh Muhyiddin.
  6. Tun Dr. Mahathir juga menentang kedudukan kerajaan Perikatan Nasional yang dilihat telah menyalahguna kuasa dengan memberikan kedudukan dan jawatan di dalam pentadbiran kerajaan mahupun GLC yang boleh diterjemahkan sebagai satu bentuk sogokan. 
  7. Mereka juga tidak memberi laluan kepada perbahasan menjunjung titah DYMM YDP Agong pada sidang Dewan Rakyat yang telah diadakan pada 18 Mei 2020. 
  8. Mereka juga tidak terbuka dalam membincangkan perbelanjaan kerajaan sepanjang  menjalani Perintah Kawalan Pergerakan.
  9. Mereka juga telah menjatuhkan kerajaan negeri Kedah yang mana jika mengikut tafsiran mereka bahawa kerajaan pusat hari ini sebagai kerajaan YDP Agong, maka kerajaan Kedah pimpinan Mukhriz sebelum ini tentulah kerajaan DYMM Sultan Kedah. 
  10. Naratif dongeng kumpulan Muhyiddin yang cuba membentuk persepsi bahawa Tun Dr. Mahathir telah merestui langkah penubuhan kerajaan Perikatan Nasional juga membuatkan beliau bertindak balas bagi menjelaskan keadaan sebenar supaya namanya tidak disalahguna oleh pihak-pihak yang mementingkan diri sendiri.
  11. Hari ini, bagi merungkai persoalan terutamanya daripada ahli-ahli BERSATU, Tun Dr. Mahathir telah memberi penjelasan berbentuk video agar perkara yang disampaikan oleh beliau dapat difahami dengan jelas.
  12. Kumpulan pro Muhyiddin boleh teruskan perang persepsi mereka. Namun, jangan sangka Tun Dr. Mahathir akan berdiam diri.

i. Penceritaan oleh kumpulan pro Muhyiddin








ii. Penceritaan oleh individu pro Tun Dr. Mahathir






iii. Penjelasan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad 


2 Jun 2020
Respon YB Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung gambar yang tular seperti di atas

"Sebelum daripada ini, berkali-kali Tan Sri Muhyiddin datang jumpa saya...seorang. Dan memintak supaya saya bersetuju dengan parti BERSATU ini keluar daripada Pakatan Harapan. Saya...tidaklah tolak dia sama sekali. Cuma saya kata saya akan pikir, berkenaan dengan perkara ini".

- YB Tun Dr. Mahathir Mohamad -
Bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7

Jumaat, 29 Mei 2020

KAEDAH PEMECATAN "OUT OF THE BOX" LANGKAH TERDESAK KUMPULAN MUHYIDDIN

  1. Malam semalam (28 Mei 2020), telah tular surat-surat yang menyatakan bahawa keahlian YB Tun Dr. Mahathir Mohamad (Langkawi), YB Dato' Seri Utama Mukhriz Mahathir (Jerlun), YB Datuk Wira Ir. Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), YB Dr. Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) telah terhenti dan terlucut. 
  2. Berdasarkan beberapa senario yang telah berlaku rentetan daripada perubahan tampuk pimpinan kerajaan Malaysia daripada HARAPAN kepada Perikatan Nasional, umum mengetahui takrifan sebenar kepada proses pemberhentian yang sedang berlaku ini adalah sebenarnya satu bentuk pemecatan.
  3. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang menyokong Tan Sri Muhyiddin, Wan Saiful Wan Jan menegaskan bahawa masyarakat telah salah faham dengan isi surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja BERSATU Pusat, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya. 
  4. Wan Saiful Wan Jan cuba menjelaskan bahawa surat tersebut bukan surat pemecatan, sebaliknya ia adalah surat makluman bagi memaklumkan kepada semua bahawa keahlian 5 tokoh BERSATU di atas telah terhenti dengan sendirinya mengikut Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU (Pindaan 2019) yang menyebut "Keahlian seseorang ahli adalah terhenti secara serta-merta apabila: menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain". Baca di sini.
  5. Ahli-ahli BERSATU perlu mengambil maklum bahawa sebarang hujah yang menggunakan alasan Fasal 10.2.3 ini adalah hujah propaganda bertujuan untuk menanamkan fahaman di minda ahli-ahli bagi mempercayai keahlian 5 tokoh di atas telah terhenti di atas perbuatan sendiri.
  6. Bagi mewujudkan persoalan kepada polemik ini, kronologi peristiwa sejak pemisahan BERSATU daripada HARAPAN perlu dilihat semula. Beberapa siri penjelasan telah dibuat sendiri oleh YB Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau adalah Pengerusi BERSATU yang sah.
  7. Fakta ini jelas apabila MPT BERSATU telah berjaya meyakinkan beliau bahawa beliau tidak kehilangan sokongan MPT semasa Tan Sri Muhyiddin mengetuai sekumpulan ahli Biro Politik BERSATU berjumpa dan memujuk YB Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya kembali menduduki kerusi Pengerusi BERSATU dengan serta-merta tidak sampai 24 jam selepas beliau meletakkan jawatan tersebut pada 24 Februari 2020. Baca di sini.
  8. Naratif dongeng bermula sebaik persetujuan dicapai oleh Tan Sri Muhyiddin dengan kumpulan UMNO dan PAS bagi membentuk kerajaan apabila beliau menjaja cerita di media bahawa beliau sedang memangku jawatan Pengerusi BERSATU. 
  9. Jika dinilai daripada sudut ini, Tan Sri Muhyiddin adalah individu yang keahliannya terhenti secara serta-merta kerana membentuk satu persepakatan dengan pihak pembangkang bagi membentuk kerajaan tanpa melalui persetujuan Pengerusi dan mesyuarat MPT.
  10. Ketika hantaran blog ini ditulis, YB Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang memasuki pejabat beliau di Menara Yayasan Selangor bagi menyambung semula tugas beliau sebagai Pengerusi parti yang tergendala kerana situasi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan. 
  11. Meskipun sejurus selepas ketibaan beliau pejabat tersebut di dalam keadaan tutup dan gelap, keiltizaman YB Tun memasuki pejabat semula adalah seperti ketegasan YB Tun untuk tidak meninggalkan Dewan Tun Hussein Onn, PWTC semasa polis mengarahkan program Nothing To Hide (N2H) dihentikan suatu masa dulu meskipun mikrofon telah dipadamkan.
  12. Selamat kembali bertugas YB Tun Dr. Mahathir Mohamad. 







Khamis, 21 Mei 2020

SELEPAS TIKAM BELAKANG TUN DR. MAHATHIR, ZAHID MD. ARIP LOBI JAWATAN TYT NEGERI MELAKA?

  1. Portal berita Malaysiakini melaporkan hari ini bahawa terdapat ura-ura mengatakan yang bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir sedang melobi untuk menduduki jawatan Tuan Yang Terutama Negeri Melaka menggantikan Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 4 Jun 2020.
  2. Kebiasaannya, di dalam dunia politik, apa yang dinafikan itu boleh menjadi benar dan sesuatu berita itu tidak sewenang-wenangnya dapat direka tanpa ada asasnya.
  3. Jika ia tidak menjadi kebenaran sekalipun, puncanya kerana laporan sesuatu berita itu telah membuka mata sesetengah pihak yang akhirnya bertindak menghalang perkara tersebut daripada berlaku.
  4. Laporan Malaysiakini ini pastinya akan mencetus (trigger) minat pembaca untuk mengetahui lebih dalam dan bagi pihak yang berlawanan pula, ini adalah masanya untuk menekan dan mengasak pihak kerajaan supaya gagal melakukan lantikan tersebut.
  5. Tentangan ini perlu dibuat kerana kes Zahid Md. Arip sedang berjalan di mahkamah dan pelantikan beliau ke jawatan tersebut akan mengganggu perbicaraan serta tidak mustahil akan membawa kepada penutupan kes.
  6. Meskipun kerajaan memberi pelbagai alasan untuk mengehadkan aktiviti politik termasuk memendekkan tempoh sidang Dewan Rakyat menggunakan alasan negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19, nampaknya tindakan pihak kerajaan sendiri tidak menepati aspek Perintah Kawalan Pergerakan apabila kesempatan ini diambil untuk segera mengisi jawatan-jawatan di dalam kerajaan bagi menjaga para penyokong mereka.
  7. Ingat lagi penafian yang dibuat oleh Tajuddin Abdul Rahman bahawa beliau akan dilantik sebagai Pengerusi Prasarana? Ia dilaporkan di media pada 30 April 2020. Penafiannya hanya bertahan selama 7 hari kerana pada 8 Mei 2020, beliau dilaporkan sah dilantik ke jawatan tersebut.


Baca laporannya di sini



         
 
                      Baca di sini                                                Baca di sini

Rabu, 20 Mei 2020

STRATEGI HALUS UNTUK MEMECAT TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD DARIPADA BERSATU?

  1. Contoh parti politik yang boleh kita lihat telah memansuhkan sesuatu jawatan kerana dianggap tidak lagi relevan disebabkan kewujudannya adalah untuk menempatkan seseorang yang khusus bagi jawatan itu adalah Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  2. PKR telah memansuhkan jawatan Ketua Umum sebaik sahaja Dato' Seri Anwar Ibrahim berjaya menduduki kerusi Presiden PKR menggantikan isterinya Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
  3. Adalah tidak mustahil jika dikatakan BERSATU sedang merancang untuk melakukan perkara yang sama ke atas jawatan Pengerusi parti kerana mahu mengangkat kedudukan Presiden sebagai pemimpin tertinggi parti sekaligus mempunyai kuasa mutlak ke atas perjalanan urusan parti tanpa perlu lagi merujuk kepada persetujuan Pengerusi.
  4. Usaha ini dapat dilihat apabila tindakan yang jelas diambil dengan niat untuk mempengaruhi ahli-ahli parti bahawa Tun Dr. Mahathir bukan lagi Pengerusi telah dibuat secara terancang oleh Kapten (B) Suhaimi, Setiausaha Kerja BERSATU.
  5. Propaganda ini telah disokong oleh surat daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia atau Registrar of Societies (ROS) yang menjelaskan bahawa Tun Dr. Mahathir bukan lagi Pengerusi parti. Surat tersebut seterusnya menyatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sedang memangku jawatan tersebut sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan masih berkuatkuasa sehingga pemilihan peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti diadakan kelak.
  6. Meskipun ia tidak sah dan ramai dapat menghidu bahawa ia adalah satu gerakan propaganda kumpulan Muhyiddin, cuba kita bayangkan keadaan di mana kita menerima keadaan bahawa Tan Sri Muhyiddin adalah Pemangku Pengerusi parti. 
  7. Adakah pasukan Muhyiddin akan membiarkan beliau menjadi pemangku jawatan tersebut sehingga pemilihan MPT diadakan? 
  8. Umum tahu kedudukan Tun Dr. Mahathir yang telah menang tanpa bertanding jawatan tersebut. Tindakan menunggu pengumuman rasmi daripada hari pemilihan MPT parti yang akan diadakan nanti adalah seperti sedang menanti malapetaka politik bagi kumpulan Muhyiddin kerana pada hari pemilihan MPT parti tersebut, Tun Dr. Mahathir akan kembali secara sah sebagai Supreme Leader (Pemimpin Tertinggi) parti dan berkuasa menentukan sebarang tindakan dan hala tuju parti.
  9. Sudah tentu para penyokong Muhyiddin mahu beliau terus menjadi pemimpin nombor 1 parti ini sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan bukannya Tun Dr. Mahathir. 
  10. Justeru, cara untuk menghalang Tun Dr. Mahathir daripada kembali sebagai Pengerusi BERSATU adalah dengan memecat beliau menggunakan kuasa palsu yang ada pada Muhyiddin sebagai Pemangku Pengerusi dan pengerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti.
  11. Adalah dipercayai ini merupakan sebabnya mengapa Setiausaha Kerja BERSATU dengan sengaja telah menghantar surat untuk meminta penjelasan daripada ROS tentang kedudukan Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi parti.
  12. Setiausaha Kerja BERSATU memohon penjelasan tersebut dengan hanya merujuk kepada surat peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir tanpa melihat kepada tindakan MPT yang telah menolak peletakan jawatan tersebut serta memutuskan untuk Tun Dr. Mahathir kembali sebagai Pengerusi parti dengan segera.
  13. Berbekalkan kedudukan palsu sebagai Pemangku Pengerusi, Muhyiddin boleh menghalang Tun Dr. Mahathir untuk kembali sebagai Pengerusi parti dengan mengambil tindakan menggugurkan keahlian beliau seterusnya meminda perlembagaan parti untuk memansuhkan jawatan Pengerusi.

Muhyiddin dilihat berusaha keras untuk terus menanam kefahaman
di dalam minda ahli-ahli parti bahawa beliau adalah
Pemangku Pengerusi parti

Jumaat, 15 Mei 2020

BAHAGIAN KEDUA : RAYUAN TUN MAHATHIR UNTUK KEKAL BERPRINSIP


  1. Bahagian Kedua rakaman suara Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU ini mendedahkan pendirian Tun. Dr. Mahathir yang mahu teruskan pentadbiran negara di dalam keadaan baik dan tersusun. 
  2. Beliau tidak mahu isu-isu politik mengganggu perjalanan tadbir urus negara dalam waktu ini. Kepercayaan yang diperolehi daripada parti-parti komponen HARAPAN melalui mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan menjadi sandaran kukuh oleh Tun Dr. Mahathir bahawa beliau boleh meneruskan pentadbiran beliau tanpa perlu menghiraukan sebarang tuntutan nakal penyokong parti-parti tertentu yang mahukan beliau menyerahkan jawatan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.
  3. Prinsip Tun. Dr. Mahathir amat jelas dan sebagaimana pegangannya bahawa janji mesti ditunaikan, beliau tetap akan tunaikan walau apa jua halangan sekalipun kerana perjanjian tersebut telah dipersetujui oleh beliau sendiri.
  4. Umum tahu ramai pihak yang meletakkan kesalahan di atas bahu Tun. Dr. Mahathir sebagai punca pentadbiran kerajaan menjadi kacau-bilau apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Namun, akal yang waras tidak sepatutnya memilih untuk menyalahkan Tun Dr. Mahathir. Sebaliknya, kesalahan itu perlu diletakkan di atas bahu mereka yang telah tersilap langkah dalam menjelmakan kegopohan untuk mewujudkan kekuasaan melalui kerjasama politik baharu.
  5. Akibat daripada keadaan yang mendesak untuk mencari kekuatan, segala usaha digemblengkan untuk mengukuhkan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.
  6. Justeru, parti Najib mempunyai sebab untuk mengambil kesempatan di atas keadaan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin yang terdesak untuk kekal berkuasa.

Rabu, 13 Mei 2020

DR. RADZI JIDIN KENA "CHECKMATE"


  1. Kenyataan Dr. Radzi Jidin selaku Ketua Penerangan BERSATU yang berbaur amaran untuk menggugurkan keahlian Tun Dr. Mahathir dan Dato' Seri Mukhriz Mahathir baru-baru ini telah memakan diri.
  2. Beliau yang merasakan dirinya serba tahu sebagai Ketua Penerangan telah membuka ruang kepada kritikan demi kritikan terhadap diri beliau sehingga menjurus kepada pendedahan rakaman perbualan sulit di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU pada 23 Februari 2020 yang lalu. (klik gambar video di atas)
  3. Kenyataan Dr. Radzi Jidin ini boleh disifatkan sebagai "sembang kemaih" oleh orang Kedah, walhal apa yang dinyatakan oleh beliau adalah satu sindrom penafian (denial syndrome) untuk mewujudkan satu persepsi baik atau "feel good factor" di dalam pemikiran ahli-ahli BERSATU terhadap Muhyiddin Yassin. 
  4. Pendedahan rakaman suara di atas jelas sekali telah mematahkan hujah palsu kumpulan Muhyiddin Yassin yang mendakwa bahawa keputusan untuk keluar daripada HARAPAN dan membentuk kerjasama dengan Muafakat Nasional adalah satu persetujuan yang telah dicapai dan diputuskan di dalam mesyuarat MPT.
  5. Pastinya, kumpulan Muhyiddin Yassin ini akan terus-menerus mencipta naratif palsu untuk ditanam di dalam pemikiran ahli-ahli demi mewajarkan tindakan menongkah arus mereka dan untuk terus memegang kuasa di dalam kerajaan.
  6. Apa yang pasti, parti Najib sedang ketawa sinis di atas kesungguhan Dr. Radzi Jidin mencipta naratif tersebut bagi mengukuhkan hubungan tidak rasmi mereka di bawah nama Perikatan Nasional.
  7. Pada mereka, tindakan Dr. Radzi Jidin adalah satu tindakan terdesak untuk menunjukkan kejituan hati kumpulan Muhyiddin Yassin dalam mengekalkan kerjasama rapuh mereka. 
  8. Masakan tidak, Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO) sendiri sudah uar-uarkan dengan jelas dan tuntas bahawa kerjasama mereka di bawah nama Perikatan Nasional ini hanya untuk satu tempoh pendek sehingga parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-15.
  9. Kenyataan Mohamad Hasan jelas sekali adalah untuk mengembalikan dominasi parti UMNO sebagai parti utama negara ini yang mana Perdana Menteri adalah daripada kalangan wakil parti mereka.
  10. Justeru, apa beza kegopohan parti Najib ini jika dibandingkan dengan dakwaan mereka ke atas kegopohan Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri?
  11. Siapa lebih gopoh? Siapa yang tebuk atap?


DAP ALAT UNTUK ANNUAR MUSA BERBOHONG


  1. Sesiapapun yang mengikuti kronologi pertukaran kerajaan setelah kerajaan Pakatan Harapan tumbang lewat Februari lalu pasti tahu syarat yang dikemukakan oleh Annuar Musa jika mana-mana parti ingin mendapatkan sokongan UMNO.
  2. Annuar Musa menegaskan tidak sesekali akan bekerjasama dengan DAP. 
  3. Propaganda Annuar Musa and co. ini telah digunakan sekian lama sebagai modal untuk melemahkan HARAPAN. Memang tidak dinafikan ramai juga orang-orang Melayu yang sering terdedah kepada propaganda ini menterjemahkan kejayaan propaganda tersebut dengan menunjukkan emosi benci kepada DAP. Tahniah Annuar Musa!
  4. Namun, semasa krisis pertukaran kerajaan Februari lalu, propaganda ini hanya merupakan strategi untuk melemahkan BERSATU apabila dilihat BERSATU dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan rakan politik bagi membentuk kerajaan. 
  5. Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan telah menangguk di air keruh dengan mengisytiharkan sokongan UMNO dan PAS ditarik semula untuk memastikan BERSATU meninggalkan terus DAP walaupun hanya untuk kerjasama atas nama Ahli Dewan Rakyat sahaja tanpa melibatkan parti politik sepertimana disebutkan oleh Perdana Menteri Interim ketika itu. 
  6. Kemudian timbul pula syarat bahawa UMNO mahu dibawa dalam kerjasama membentuk kerajaan sebagai satu entiti parti atau "en bloc" dan bukan hanya wakil-wakil rakyat terpilih sahaja.
  7. Sebaik sahaja BERSATU yang dibawa oleh Muhyiddin bersetuju dengan syarat Annuar Musa and co., maka dicadangkan nama Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke 8.
  8. Ya, Perdana Menteri adalah daripada BERSATU. Namun, kedudukannya tidak mampu mendominasi kerajaan yang beliau terajui kerana UMNO yang diterimanya sebagai "en bloc" kelihatan lebih kuat mengikut tafsiran jumlah kerusi yang diwakili.
  9. Pada waktu ini, kita dapat lihat satu demi satu budaya lama UMNO mewarnai kekalutan politik negara.
  10. Memandangkan Annuar Musa and co. sering menyemai rasa benci masyarakat terhadap DAP, adalah lebih baik di kesempatan ini mereka batalkan pendaftaran DAP dan haramkan penggunaan nama parti politik tersebut. Perkara ini tidak boleh dilengahkan lagi. Daripada Hamzah Zainuddin yang memayungi ROS di Kementerian Dalam Negeri mencatur untuk memecat keahlian Tun Mahathir dan Dato' Seri Mukhriz daripada BERSATU, baiklah membatalkan pendaftaran DAP diberikan keutamaan. 
  11. Bukankah Annuar Musa and co. benci sangat dengan DAP? Tun Mahathir dan Dato' Seri Mukhriz adalah orang Melayu. Mengapa diganggu?
  12. Annuar Musa and co. wajib membatalkan pendaftaran DAP dan haramkan parti tersebut dalam bulan Jun 2020 ini setelah PKPB berakhir. Tindakan ini penting supaya wakil-wakil rakyat DAP terpaksa menghadiri sidang Dewan Rakyat pada Julai 2020 tanpa mewakili sebarang parti. 
  13. Beranikah Annuar Musa and co.?

Selasa, 12 Mei 2020

TUN MAHATHIR, BERSATU DAN MELAYU

  1. Pada majlis sambutan Aidilfitri di Bukit Merah Laketown Resort dalam tahun 2018, Tun Mahathir telah tegaskan bahawa Bersatu adalah wadah politik baharu bagi orang Melayu menggantikan UMNO.
  2. Tun Mahathir tidak pernah sesekali menafikan jasa UMNO sejak ia berjaya memerdekakan Tanah Melayu. Namun, tidak juga beliau nafikan UMNO yang pernah beliau pimpin dahulu bukan UMNO sekarang. UMNO yang ada sekarang adalah parti yang berpegang kepada janji @ wala' kepada ketua sahaja. Ia bukan lagi parti yang setia kepada perjuangan agama, bangsa dan tanahair.
  3. Oleh kerana kesetiaan kepada ketua dengan tidak bersandarkan kepada prinsip parti, kesalahan demi kesalahan pemimpin dibiarkan sahaja, asalkan kepentingan beberapa kumpulan pengikut yang berpengaruh dalam mencatur sokongan masyarakat dijaga dengan baik.
  4. Dahulu, ahli UMNO sanggup menolak Dato' Onn hanya kerana beliau mencadangkan supaya keahlian UMNO dibuka kepada bangsa lain. Ahli UMNO memilih supaya UMNO kekal sebagai parti Melayu sahaja. 
  5. Berbeza dengan zaman sekarang, ahli UMNO sanggup menutup mata dan membela kesalahan pemimpin yang melakukan kesalahan mencuri duit rakyat. Alasan-alasan yang diberikan untuk membela pemimpin pula jelas tidak masuk akal.
  6. Kerana sikap ahli-ahli UMNO itu, mereka kalah dalam pilihanraya. Tetapi, alasan yang mereka guna adalah parti lawan menipu untuk menang pilihanraya. Mereka kata parti lawan tabur janji kosong sehingga pengundi tertipu dan terpengaruh untuk mengundi mereka.
  7. Parti Najib ini mungkin lupa, yang haq pasti menewaskan yang batil. Jika mereka berada di pihak yang benar, mereka tentunya tidak akan kalah kepada apa sahaja bentuk penipuan. Mereka perlu salahkan diri mereka sendiri kerana manifesto mereka tidak cukup kuat untuk memberi keyakinan kepada pengundi. 
  8. Parti Najib ini memperlekehkan pengundi apabila mengatakan pengundi ditipu oleh manifesto parti lawan. Adakah pengundi begitu mudah terpedaya sebegitu rupa? Atau sikap parti Najib sendiri yang menyebabkan mereka tersungkur?
  9. Setelah 2 tahun parti Najib kehilangan kuasa, tiada tanda-tanda yang mereka sedia untuk berubah. 
  10. Tun Mahathir tahu pengikut UMNO tidak salah. Mereka diheret oleh pemimpin mereka yang korup ke arah yang salah. Oleh itu, Tun Mahathir umumkan BERSATU adalah rumah baru untuk orang Melayu. BERSATU mesti gantikan UMNO yang telah rosak.
  11. Atas sebab itu, Tun Mahathir tidak mahu bekerjasama dengan parti Najib secara en bloc. Hanya dengan cara ini saja Melayu boleh diselamatkan.

Isnin, 11 Mei 2020

BERSATU TIADA TEMPAT DI DALAM GABUNGAN UMNO DAN PAS

Klik gambar untuk lihat video


  1. Ketua Penerangan BERSATU, Dr. Radzi Jidin kelmarin mengeluarkan kenyataan bahawa pihak yang menentang keputusan parti dalam menjalinkan kerjasama dengan UMNO dan PAS melalui Perikatan Nasional berhadapan risiko keahlian mereka digugurkan.
  2. Di atas ini ialah jawapan Dato' Seri Utama Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden BERSATU bagi membidas kenyataan Dr. Radzi.

BAHAGIAN SATU : PENJELASAN TUN MAHATHIR, PENYOKONG PN SENGAJA BUAT TIDAK FAHAM


  1. Penjelasan di atas telah dibuat berkali-kali oleh Tun. Dr. Mahathir Mohamad. "Sebenarnya, saya letak jawatan kerana parti saya sendiri, tolak saya".
  2. Meskipun penjelasan ini telah dibuat, masih ramai berpendapat secara melulu bahawa Tun Mahathir sendiri meletakkan jawatan tanpa dipaksa.
  3. Pendapat ini adalah salah kerana (ulang ayat di atas); "Sebenarnya, saya letak jawatan kerana parti saya sendiri, tolak saya".
  4. Ahli-ahli BERSATU perlu sedar bahawa pihak MPT BERSATU yang sealiran dengan Tan Sri Presiden telah membuat keputusan untuk tidak menurut kata-kata Tun Mahathir sebagai Pengerusi parti sehingga menyebabkan Tun Mahathir percaya bahawa beliau telah hilang sokongan daripada parti beliau sendiri.
  5. Walau bagaimanapun, Biro Politik BERSATU mewakili Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kemudiannya dengan dihadiri oleh Tan Sri Presiden (Muhyiddin Yassin), Dato' Seri Timbalan Presiden (Mukhriz Mahathir), Datuk Wira Setiausaha Agung (Marzuki Yahya), Ketua Armada (Syed Saddiq), Ketua Srikandi (Rina Harun) dan Ketua Penerangan (Dr. Radzi Jidin) telah bertemu dengan Tun Mahathir untuk memujuk dan meyakinkan beliau bahawa beliau tidak kehilangan sokongan dan MPT BERSATU secara sebulat suara TIDAK MENERIMA perletakan jawatan Tun Mahathir dan mahu beliau segera kembali menerajui parti.
  6. Namun, setelah Tan Sri Muhyiddin berjaya diangkat menjadi Perdana Menteri, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sedang memangku jawatan Pengerusi sehingga pemilihan parti diadakan. Beliau menambah, jawatan Pengerusi BERSATU kekal kosong setelah Tun Mahathir meletakkan jawatan dan ia tidak boleh diisi semula sehingga pemilihan parti diadakan.
  7. Asas hujah Tan Sri Muhyiddin ini adalah berdasarkan Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU iaitu "Jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baru mengikut Fasal 13.3  dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2" (Tugas-tugas Pengerusi).
  8. Walaupun dinyatakan sedemikian, perenggan ini mesti dibaca dengan Fasal 29 Tafsiran yang menjelaskan "Jika berbangkit sebarang perselisihan di atas tafsiran Perlembagaan ini atau mana-mana Peraturan yang dibuat di bawah kuasa Perlembagaan ini, maka tafsiran yang diberikan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi adalah muktamad"
  9. Menurut tafsiran Fasal 16.9 oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, permohonan untuk berhenti daripada jawatan Pengerusi oleh Tun Mahathir adalah tidak diterima lantas ia juga tidak sah. Justeru, keputusan MPT tersebut adalah muktamad mengikut Fasal 29.
  10. Oleh yang demikian, Tun Dr. Mahathir masih merupakan Pengerusi BERSATU yang sah.
      



Video 1


Video 2




Video 1 & 2 : Peristiwa pagi 25 Februari 2020 selepas rombongan Biro Politik BERSATU yg diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumpa Tun Dr. Mahathir di kediaman beliau. Perjumpaan ini adalah untuk memujuk dan meminta beliau menarik semula perletakan jawatan Pengerusi BERSATU. Tun Dr. Mahathir telah memberi isyarat positif untuk membuat pertimbangan penarikan semula perletakan jawatan beliau selepas dimaklumkan bahawa mesyuarat MPT sebulat suara menolak perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir pd 24 Februari 2020.


Yang benar,

Pendekar Tanpa Nama

TUN M SUDAH CABAR NAJIB PADA TAHUN 2021

Temuramah kendalian Media Mulia dengan Tun M tahun lalu telah membuka ruang untuk Tun M mencabar Najib secara terbuka. Najib mendakwa Tun M ...