1MDB:
Raja-raja Melayu mahu siasatan cepat selesai
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/1mdb-raja-raja-melayu-mahu-siasatan-cepat-selesai-1.437502
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/1mdb-raja-raja-melayu-mahu-siasatan-cepat-selesai-1.437502
KUALA LUMPUR - Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan
secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang
terlibat.
Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak
bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha
serta maksud siasatan tersebut berjaya.
"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap
dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama
sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan
itu.
Kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri
Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan
di Istana Negara hari ini.
Ia berkata: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan
yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.
"Akibatnya rakyat
percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut
menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit
Malaysia secara mendadak, sehingga memberi impak negatif ke atas pasaran
kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan
dunia terhadap Malaysia."
Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini
tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa
terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan
kehidupan rakyat jelata.
Ia juga dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman
awam serta keselamatan negara.
"Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin
agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan
Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara.
"Demi memastikan kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin
dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus
berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan
dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang," menurut
kenyataan itu.
Untuk itu, menurut kenyataan itu, badan-badan penguatkuasaan
serta institusi-institusi kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan
kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi kerajaan yang
berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara
telus, berkredibiliti dan berintegriti.
Raja-raja juga mahukan para pemimpin sentiasa mengutamakan
faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta
meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.
"Raja-raja Melayu
memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan
para pemimpin parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak
mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap
parti atau pihak masing-masing," menurut kenyataan itu lagi.
Baginda
sekalian mengingatkan hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara
agama yang terjalin baik selama hari ini telah berperanan penting sebagai
tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju
dan makmur.
Oleh
itu, hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa
dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek.
"Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu ada
tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara
dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam
harmoni," kata kenyataan itu. - Bernama