GEMPAR!!! SURAT TERBUKA YBHG. DATUK ABDUL HAMID BADOR KEPADA KERAJAAN MALAYSIA
Sumber dipetik daripada : http://malaysianreview.com/146761/surat-datuk-abdul-hamid-bador-kepada-kerajaan-didedahkan/
Untuk ke artikel Malaysian Review, klik SINI atau artikel asal blog Din Turtle, klik SINI
DATUK ABDUL HAMID BADOR – SURAT TERBUKA KEPADA KERAJAAN.
Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan berbanyak terima kasih
kepada semua ahli keluarga, saudara mara, sahabat, jiran, serta anak Malaysia
yang bencikan kemungkaran, yang tidak berhenti-henti memberikan galakan serta
mendoakan keselamatan diri saya serta keluarga. Saya amat terhutang budi.
Sesungguhnya galakan dan doa-doa suci inilah yang memberikan saya kekuatan dan
keberanian untuk terus memerangi kemungkaran.
Saya juga amat terhutang budi kepada pihak media kerana telah
sudi memberikan ruang untuk menyiarkan rintihan hati kecil saya ini untuk
tatapan rakyat Malaysia yang berasa amat terguris hati, marah, kecewa, hampa,
geram serta terhimpit dengan “tingkahlaku tidak bertanggungjawab”
pemimpin-pemimpin kerajaan sejak kebelakangan ini.
Sesungguhnya keputusan yang saya ambil untuk menulis SURAT
TERBUKA KEPADA KERAJAAN ini adalah keputusan saya sendiri tanpa disogok atau
dibatu-apikan oleh mana2 individu atau organisasi yang berkepentingan. Saya
bertindak atas sifat sebagai seorang pegawai kerajaan yang TERANIAYA,
disebabkan oleh pendirian saya tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang secara
terang-terangan telah melakukan kesalahan besar kepada negara.
Saya faham bahawa sebagai seorang pegawai bawahan saya terikat
dengan beberapa peraturan yang melarang saya untuk menyuarakan apa2 kritikan
terhadap kerajaan tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan dari ketua jabatan.
Saya juga faham bahawa satu bentuk tindakan disiplin boleh dikenakan ke atas
diri saya. Malahan surat Beri Penjelasan 1 oleh Ketua Polis Negara telahpun
saya jawab panjang lebar pada 15 Sept lalu.
Tetapi di waktu yang sama saya juga sedar tentang hak dan
tanggungjawab saya, yang jauh lebih besar dan suci, di bawah PERLEMBAGAAN dan
UNDANG-UNDANG NEGARA untuk mempertahankan negara dari segala bentuk ancaman
termasuk yang berkaitan dengan JENAYAH. Apatah lagi saya adalah seorang pegawai
Polis Di Raja Malaysia yang telah mengangkat sumpah untuk berkhidmat dengan
penuh kejujuran sebagaimana yang dikehendaki oleh AKTA POLIS.
Oleh demikian dengan penuh keinsafan dan berbekalkan doa
orangramai ini saya memberanikan diri untuk berusaha menegakkan kebenaran bagi
menyelamatkan pertiwi dari ancaman manusia-manusia rakus yang sedang
bermaharajalela memporakperandakan segala sistem pentadbiran sedia ada dan
secara terang-terangan melanggar undang-undang bagi memuaskan nafsu buas
mereka. Saya rasa terpanggil untuk tampil ke depan sekali lagi bagi bersuara
kerana pihak yang bersalah dilihat belum insaf. Apalah pilihan yang ada pada
saya untuk membuat aduan mengikut prosedur jabatan apabila hampir semua
ketua-ketua jabatan terbabit dengan komplot membohongi rakyat sambil “merestui
perlakuan jenayah” pemimpin-pemimpin tertinggi negara!!!
“What choice do I have???”. Perlu juga saya tegaskan di sini
bahawa niat saya BUKANNYA UNTUK MENUMBANGKAN KERAJAAN. Niat suci saya hanya
untuk MENEGAKKAN KEADILAN. Siapa yang bersalah maka dialah yang akan menerima
padahnya di sisi undang-undang. Sesungguhnya undang-undang itu buta dari segi
darjat dan kedudukan……tiada bezanya di antara seorang Pembantu Am Rendah dengan
seorang Menteri……di antara seorang prebet dengan seorang general……di antara
seorang konstabel dengan seorang komisioner dan di antara seorang peneroka
FELDA dengan seorang jutawan terbilang!!! Jenayah tetap jenayah.
Ramai juga rakan-rakan saya yang ikhlas menyuarakan kebimbangan
mereka tentang keselamatan diri saya. Ada di antara mereka yang menyarankan kemungkinan
besar “hired killer atau killers” dari Selatan Thai telah diupah oleh
“perompak-perompak” wang rakyat ini untuk membunuh saya. Insya Allah saya tidak
sekali-kali akan berundur. Saya akur dengan KEAGUNGAN ALLAH SWT. Lagi cepat
saya mati….lagi cepat mereka masuk jel dan digantung leher sampai mati. Jika
saya gugur sekalipun saya yakin perjuangan saya ini tidak akan terhenti di situ
saja.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa usaha saya ini bukannya
bermatlamatkan untuk saya mendabik dada demi kemenangan. Usaha saya ini
hanyalah untuk menegakkan keadilan. Saya lakukan semua ini semata-mata untuk
menghambakan diri saya kepada rakyat bagi menyedarkan kerajaan bahawa keadaan
negara semakin meruncing dan rakyat sudah loya melihat segala sandiwara yang
dipersembahkan oleh pemimpin-pemimpin haprak ini. Jauh sekali niat di hati
kecil saya ini untuk cuba menjadi jagoh atau mencari populariti.
Saya bukannya manusia yang egoistik…..bukan seorang berdarah
panglima…..seorang yang sudah besar kepala……atau JOBO, mengikut slang orang
REMBAU. Saya hanya ingin berbakti pada pertiwi tercinta. Apabila sudah pencen
nanti saya tidak akan menyesal kerana saya telah berusaha gigih menjalankan
amanat Allah SWT.
Saya mendapat tahu bahawa usaha untuk menghakiskan kredibiliti
saya sedang giat dijalankan oleh pucuk pimpinan Cawangan Khas yang ada
sekarang. Saya digambarkan sebagai seorang yang kecewa dan selfish kerana tidak
dilantik menjadi Pengarah Cawangan Khas. Kononnya saya tidak mengenang budi
apabila permohonan saya untuk pencen awal telah ditolak oleh Ketua Polis
Negara. Bila pulak saya memohon untuk pencen awal??? Saya menyeru kepada Dato
Sri Fuzi Harun, Pengarah Cawangan Khas, supaya ingat pesanan arwah orangtua
kita dulu……jangan berbohong dan jangan gadaikan maruah diri dengan membela
orang yang terang-terang bersalah demi merebut jawatan.
Seluruh peringkat organisasi Cawangan Khas didendangkan dengan
cerita-cerita bohong yang kononnya saya ini “meroyan” dan seperti seorang yang
“gila talak” selepas “ditendang keluar” dari Cawangan Khas. Oh…oh…oh…jauh
sekali melesetnya pemikiran mereka. Sebenarnya saya bukan seperti mereka yang
hanya suka dan pandai “menjilat” tulang-tulang yang dilemparkan oleh pemimpin
politik haprak ini. Saya BELUM PERNAH MENCIUM TANGAN pemimpin-pemimpin haprak
serta tangan isteri mereka.
Sebelum ini saya telah berkali-kali menzahirkan pendirian saya
kepada anakbuah saya di dalam Cawangan Khas bahawa saya tidak rela meneruskan
perkhidmatan dalam Cawangan Khas jika saya terpaksa bersekongkol dengan mereka
untuk membohongi rakyat dengan kerja-kerja kotor demi menyelamatkan Perdana
Menteri dan kuncu-kuncunya itu dalam kes “rompakan” wang 1MDB ini. Saya juga
tidak mahu diperalatkan oleh seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri
Dalam Negeri yang lagaknya seperti seorang gengster.
Jika beginilah kotornya imejnya dua pemimpin tertinggi negara
maka sebagai seorang pegawai polis yang masih bermaruah saya tidak sekali-kali
ingin meneruskan khidmat saya dalam Cawangan Khas. Tetapi ini tidak bermakna
saya tidak lagi mahu berkhidmat dengan PDRM. Sebaliknya saya merayu kepada KPN
supaya saya dikekalkan di Bukit Aman, paling tidak dalam Jabatan Integriti Dan
Pematuhan Standard (JIPS) supaya saya boleh terus menyumbang secara positif
kepada PDRM dalam hal-hal disiplin dan pembasmian rasuah.
Itu saja sebabnya yang saya berani berdiri berseorangan diri
memerangi kemungkaran. Ingat ye….saya tidak pernah menghasut mana-mana warga
Cawangan Khas untuk menyokong segala usaha saya menegakkan kebenaran. Mereka
sudah matang dan boleh berfikir sendiri. Tepuk dada tanya selera. Semaklah
semua rekod komunikasi saya. Sepatutnya Dato Sri tunjukkan kepimpinan yang baik
dan bukannya memfitnah orang-orang yang terdahulu. Saya berjuang bersendirian
tanpa ada bodyguard.
Insya allah saya tidak memerlukan tenaga Unit Tindakan Khas dan
outrider polis untuk menjaga keselamatan saya. I AM NOT A COWARD!!! Kepada Dato
Sri Fuzi Harun saya menyeru supaya jangan membodek berlebih sangat. Kalau nak
mengampu bos tu ampulah puas-puas. Insya allah bila tiba masanya nanti bolehlah
Dato Sri sama-sama mengiringi beliau masuk jel……I Know What You Did Last
Summer!!!
Semenjak pertemuan saya dengan pihak media pada 23 Ogos yang
lalu saya telah menerima pelbagai nasihat, teguran, kritikan, dan juga ancaman
dari individu-individu tertentu. Ada yang bersifat konstruktif dan tidak kurang
juga yang bernada ugutan dan gertakan untuk menangkap saya. Ribuan terima kasih
saya ucapkan kepada mereka yang berniat baik.
Kepada mereka yang berniat serong saya doakan juga agar Allah
SWT memberikan mereka kesedaran dan peluang untuk kembali ke jalan yang
diredhai. Jangan pula cuba untuk nak membabitkan sejarah perkahwinan saya dalam
isu ini sebagaimana yang dilakukan Dato Rizal Mansor, pegawai khas 1st Lady tu,
tempohari.
Ibarat ayam jantan yang mengepak dan berkokok megah sedangkan
buntutnya sendiri bersememeh dengan tahi. Bukan saja skandal Dato’ Rizal itu
boleh saya dedahkan malahan “cerita-cerita menarik” tentang bosnya Datin Sri
Rosmah sendiri boleh saya riwayatkan di khalayak ramai. Afterall birds of the
same feathers flock together. Oleh demikian janganlah sesiapa mahu cuba
memutarbelitkan hal peribadi saya dalam JIHAD MENEGAK KEADILAN ini. Stick to
the issue!!!
Pada hari ini saya ingin mengambil kesempatan untuk membuat beberapa
saranan atau gesaan penting kepada beberapa pegawai tertinggi kerajaan yang
selama ini, secara sedar ataupun tidak, atau samada dengan penuh kerelaan atau
secara keterpaksaan, telah terpalit dengan kontroversi isu 1MDB. Kedudukan kes
ini sebenarnya bolehlah dirumuskan sebagai sesuatu yang SUDAH TERANG LAGI
BERSULUH.
Itulah kata-kata terakhir Tan Sri Gani Patail kepada saya
sebelum beliau “dipecat”. Saranan ini terpaksa saya buat kerana sesungguhnya
majoriti rakyat telah berasa amat marah dan meluat terhadap tindak tanduk
pegawai-pegawai tertinggi kerajaan ini yang secara terang-terangan telah
menyalahgunakan kuasa.
Sungguh menjijikkan tindak tanduk desprados ini untuk terus
berkuasa dan mengelakkan diri dari MASUK KE DALAM JEL. Mereka sanggup berbuat
apa saja untuk memastikan siasatan ini terhenti. Serentak dengan usaha itu
mereka menggunakan strategi mengelirukan rakyat dengan mencipta skrip basi yang
tidak masuk akal kononnya wujud konspirasi untuk MENGGULINGKAN KERAJAAN. Siapa
yang nak gulingkan kerajaan???
Kononnya orang-orang CINA NAK RAMPAS KUASA!!! Ish ish ish jahat
sungguh taktik “diversion” yang digunakan oleh para “perompak”ini. Dari isu
Pecah Amanah Jenayah dah bertukar pula jadi isu perkauman. Siapalah agaknya
penasihat strategi “perompak” ini ye….pandai-pandai tupai melompat akhirnya
jatuh ke tanah jua.
Sebenarnya apa yang rakyat mahukan ialah penjelasan Perdana
Menteri tentang misteri “kehilangan” wang 1MDB. Rakyat berhak tahu cerita
sebenar-benarnya kerana 1MDB telah meminjam RM4 billion dari Kumpulan Wang
Amanah Pencen (KWAP). Ini wang rakyat.
Ini bukan wang Yayasan Tan Sri Noah. As simple as that!!!
Mengapa takut untuk tampil memberi penjelasan??? Mengapa mesti tunggu lagi 6
bulan untuk merungkai misteri ini??? Mengapa PAC dan Special Taskforce itu
dibubarkan???
Mengapa tiba-tiba Peguam Negara “dipecat” dan pegawai SPRM
ditangkap? Mengapa hasil siasatan Bank Negara itu masih belum diputuskan oleh
Peguam Negara? Mengapa ketiga-tiga saksi utama kes itu masih berdolak-dalik dan
tidak berani segera tampil memberi keterangan? Hanya orang bersalah saja yang takut!!!
Rakyat juga ingin tahu betul kah berjuta-juta ringgit wang KWAP telah
dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan samada benar sebahagian
darinya telah digunakan untuk membayar caj solekan kulit Datin Sri Rosmah serta
lain-lain perbelanjaan mewah beliau??
Saranan dan gesaan ikhlas ini saya tujukan kepada,
KETUA SETIAUSAHA NEGARA.
Kepada Y.bhg Tan Sri Ali Hamsa saya merayu agar Tan Sri dapat
melaksanakan tanggungjawab sebagai Penjawat Awam No. 1 dengan penuh kejujuran
dan beramanah sebagaimana yang Tan Sri sendiri unjurkan dalam banyak
amanat-amanat kepada penjawat awam sebelum ini. Tan Sri seharusnya berani dan
ikhlas dalam menggunakan kuasa dan pengaruh jawatan dalam kes 1MDB ini. Sebagai
bapa kepada perkhidmatan awam Malaysia adalah menjadi kewajipan Tan Sri untuk
menunjukkan contoh kepimpinan yang terbaik kepada ratusan ribu anakbuah.
Takutilah kemurkaan Allah SWT. Jangan sekali-kali Tan Sri takut
kepada tekanan pemimpin-pemimpin politik yang sudah jauh menyimpang dan
menyeleweng. Tan Sri wajib sedar bahawa penjawat-penjawat awam amat mengharapkan
Tan Sri untuk berlaku adil dan tegas menguatkuasakan peraturan -peraturan
kerajaan dan bukannya bersubahat dengan mereka yang terang-terang bersalah,
untuk menekan, menukar, mengugut, memecat dan menangkap penjawat-penjawat awam
yang jujur melaksanakan tugas. Sepatutnya Tan Sri menjadi pembela kepada
penjawat awam yang teraniaya!!!
Mengapa keadaan boleh jadi sebegini buruk Tan Sri??? Tidakkah
Tan Sri nanti berasa malu kepada isteri, anak menantu dan ahli keluarga yang
lain?? Tidak salah jika saya katakan bahawa moral para penjawat awam kini sudah
jatuh merudum. Ikrar jabatan yang dilafazkan setiap bulan oleh penjawat awam
untuk memberi perkhidmatan terbaik serta penuh integriti kepada rakyat dan
negara sudah tidak bermakna lagi. Ingatlah Tan Sri….jangan sampai kita
tergolong dalam kumpulan orang-orang MUNAFIK!!!
PEGUAM NEGARA, TAN SRI APANDI ALI.
Rakyat di seluruh negara amat terkejut apabila Y.A Tan Sri tiba-tiba muncul di saat memuncaknya kontroversi 1MDB. Memanglah tidak terlintas langsung di benak mereka bahawa penggantian jawatan Tan Sri Gani Patail itu dilakukan se pantas kilat membelah bumi. Memanglah kami tahu bahawa penentuan siapa yang paling layak memegang jawatan paling berkuasa itu adalah hak mutlak DYMM SPB Agong atas syor Perdana Menteri. Tetapi di dalam kes Tan Sri prosesnya berjalan luarbiasa sekali.
Apakah nawaitu Tan Sri sewaktu mula-mula menerima jawatan tersebut…….to discharge your duties with the highest standard of integrity??? Atau adakah Tan Sri sendiri masih terpinga-pinga dan berat untuk menerima beban jawatan tersebut???Tetapi orangramai bertanggapan bahawa Tan Sri sendiri telah banyak menyumbang idea tentang halatuju tindakan kerajaan di saat-saat genting keputusan “memecat” Tan Sri Gani Patail itu dibuat.
Dalam ertikata lain….Tan Sri telah bersubahat dengan Perdana Menteri. Wahai Tan Sri yang budiman…..ingatlah betapa sakitnya hukuman di hari Pengadilan nanti. Pada tahap umur sekarang pintu Rahmatullah kelihatan sudah terenggang sedikit. Kita sudah tidak punyai banyak masa lagi. Janganlah dek kerana hendakkan glamor jawatan maruah diri kita gadaikan. Saya masih ada sedikit keyakinan bahawa dengan pengalaman sebagai hakim yang sebegitu luas Tan Sri mampu melaksanakan amanat Allah SWT supaya berlaku adil.
Segerakanlah membuat keputusan khususnya berkaitan hasil siasatan Bank Negara itu yang kini failnya sudahpun berada di tangan Tan Sri. Bukankah Jabatan Peguam Negara sedia mempunyai ramai pakar undang-undang lulusan dalam dan luar negara??? Sudah pasti tenaga otak bijak mereka boleh digembeling bagi membantu Tan Sri membuat keputusan dengan cepat dan tepat. Beranikanlah diri Tan Sri untuk disyukuri anakcucu kemudian hari. Jangan aibkan nama baik kita kepada generasi anakcucu kemudian hari.
KETUA POLIS NEGARA.
Kepada Ydh Tan sri saya ingin mengambil peluang untuk menasihati Tan Sri agar dapat menghayati setiap patah perkataan yang tertera dalam Sumpah Jawatan, Ikrar Polis, Rukun Negara dan Perlembagaan Negara. Kuatkuasakanlah Akta Polis itu dengan sejujur-jujurnya. Kita pernah sama-sama berikrar untuk mempertahankan pertiwi dari segala bentuk ancaman. Jangan sekali-kali kita gentar dengan gertakan pemimpin-pemimpin politik yang kian terdesak akibat sifat tamak mereka. Jangan takut dengan ugutan halus “are you with me or are you not?”
Janganlah PDRM bertindak MEMILIH BULU dalam penguatkuasaan undang-undang. Yakinlahlah Tan Sri bahawa 120 ribu warga PDRM ini akan tetap setia berdiri teguh mematuhi segala arahan Tan Sri yang berlandaskan undang-undang. Ingatkah Tan Sri kepada lirik lagu keramat kita “POLIS SEDIA BERKHIDMAT”? Perkhidmatan kita adalah untuk rakyat dan negara dan bukannya untuk melindungi petualang negara!!!
Sudah lupakah Tan Sri bahawa telah sekian banyak warga PDRM, majoritinya yang berpangkat rendah, yang ditangkap dan diadili serta dihukum kerana rasuah yang tidak seberapa besar nilainya jika dibandingkan dengan misteri “kehilangan” wang 1MDB??? Tanpa mengira kecil ataupun besar nilai wang serta tinggi rendahnya pangkat mereka yang terlibat dalam satu-satu kes itu…..jenayah tetap jenayah.
….. ukan oleh pemimpin tertinggi negara. Saya amat yakin ramai warga PDRM sendiri yang berasa kecewa dengan halatuju tindakan siasatan oleh pihak kita. Di sebalik kuasa yang begitu luas PDRM dilihat mengambil pendirian bersahaja, sambil lewa atau acuh tidak acuh dalam pendekatan siasatan kes 1MDB. Malahan Tan Sri sendiri dianggap oleh orangramai telah BERSUBAHAT DENGAN SENGAJA MELINDUNGI mereka yang terlibat dalam kes ini dan di waktu yang sama telah menganiaya pegawai-pegawai SPRM dan Bank Negara.
Adakah Tan Sri diugut oleh mereka dengan sesuatu yang menakutkan? Cukuplah Tan Sri. Kembalilah bernaung di bawah pancaran semangat Panji Di Raja PDRM yang kita arak setiap 25 March. Berilah pengisian yang terbaik kepada Ikrar Hari Polis itu. Gunakanlah segala kuasa yang ada pada jawatan Tan Sri itu di jalan Allah SWT. Jadilah KHALIFAH ALLAH di bumi tercinta atau setidak-tidaknya contohilah keberanian dan kebijaksanaan pahlawan Islam yang terbilang, KHALID AL-WALID.
MANTAN PEGUAM NEGARA, TAN SRI GANI PATAIL.
Saya berasa amat sedih dan bersimpati sekali dengan nasib yang menimpa Y.Bhg Tan Sri. Ibarat pepatah Melayu….sudah jatuh ditimpa tangga. Tergamak mereka menggunakan alasan penyakit yang masih boleh diubati itu untuk “memecat” Tan Sri. Tan Sri sendiri pernah memberitahu saya dengan penuh bersemangat tentang perancangan doktor pakar untuk melakukan pemindahan buah pinggang itu selepas Aidil Fitri yang lalu. Hina dan menjijikkan sungguh tindakan mereka ke atas Tan Sri.
Sebelum tragedi pemecatan jawatan tersebut berlaku saya amat konfiden dengan ketegasan Tan Sri dalam mengepalai usaha Special Taskforce 1MDB tersebut. Bimbang betul Perdana Menteri dengan pendirian “no nonsense” Tan Sri itu.
Tetapi sesudah “dipecat” Tan Sri diam membisu seribu bahasa. Apa yang sudah terjadi pada diri Tan Sri? Ada pihak menyatakan bahawa Tan Sri diugut agar tidak melawan. Kononnya Tan Sri mempunyai skandal atau salahlaku yang boleh digunakan oleh mereka untuk mengaibkan Tan Sri di khalayak umum…… “Cummon Tan Sri !!! What is a small personal scandal, even if there is such, when compared to the horrific impact the 1MDB fiasco has unto the nation!!! People will easily forgive you. Come out and make a stand. All this while you are idolised as a tough fighter among the civil servants. Why in a sudden you become so timid? What have they done to you? Allah SWT will protect you sir”.
Ada juga suara-suara nakal yang menggambarkan bahawa Tan Sri telah termakan sogokan “perompak” ini dengan “habuan-habuan”tertentu. Tetapi mengenali diri Tan Sri saya yakin semua itu akan Tan Sri tolak mentah-mentah begitu sahaja. Saya masih ingat dengan jelas kata-kata bersemangat Tan Sri pada malam pertemuan terakhir kita sebelum Tan Sri “dipecat”……” Hey look…this difficult decision that I have made is not about toppling the government. I am not interested in politics. I am just doing my job”.
Lantaran mendengar kata-kata Tan Sri itu saya spontan berdiri dan memberi tabik hormat polis kepada Tan Sri. I can never forget this special moment sir. Saya mendoakan agar rawatan kesihatan ke atas Tan Sri berjalan dengan selamat dan sempurnanya. Aamiin.
PEGAWAI-PEGAWAI SPRM.
Kepada para pegawai SURUHANJAYA KERAMAT ini saya menyeru supaya Tan Sri/Datuk/Dato/tuan/puan semua agar berani untuk melaksanakan tanggungjawab dengan jujur. Ambillah iktibar dari semangat kerja Mendiang KEVIN MORAIS. Fear no one except Almighty God. Berani kerana benar. Jangan gentar dengan cubaan-cubaan “blackmail” oleh pihak petualang. Jangan dilewat-lewatkan siasatan. Jika ada saksi-saksi atau suspek-suspek yang bersandiwara atau menghilangkan diri atau “bermain tarik tali” maka gunakan INTERPOL untuk memburu penyamun-penyamun tarbus ini.
Saya tidak lagi berada dalam Cawangan Khas untuk menggunakan kepakaran dan rangkaian kerja kami untuk menjejak mereka. Jika tidak sudah pasti mereka “tidak cukup tanah untuk lari”. Se dalam mana cacing nak menyorok di dalam tanah??? Ingatlah bahawa SPRM lah tinggalnya satu-satunya badan penguatkuasa yang menjadi harapan rakyat untuk keadilan dilaksanakan dalam kes 1MDB ini setelah pihak-pihak yang lain samada “kecut perut” atau menjadi pengkhianat keadilan.
Rakyat tidak sabar lagi untuk menyaksi penghujung cerita melodrama 1MDB ini. Ganjaran yang menunggu selepas kiamat nanti amat besar sekali. Bersatulah demi kebaikan masadepan negara ini. Jangan berpecah dek “nak berebut harta perang”. Jangan lupa peristiwa Perang Uhud!!!
LAIN-LAIN PENJAWAT AWAM.
Kepada lain-lain penjawat awam termasuklah PDRM, ATM, Kastam Di Raja Malaysia dan pegawai/staf kedutaan/suruhanjaya tinggi Malaysia di luarnegeri, khususnya mereka yang mempunyai maklumat tentang salahlaku “perompak-perompak”1MDB ini, saya menyeru agar mereka semua berani berdiri dan tampil ke depan untuk menyumbang maklumat. Kepada yang MUSLIM eloklah bermuhasabah diri masing-masing.
Hayatilah isi kandungan pelbagai khutbah solat jumaat yang dibaca oleh khatib berkaitan dengan amanah dan integriti. Memanglah berat tanggungjawab yang kita pikul sebagai penjawat awam. Tetapi yakinlah kepada kuasa Allah SWT. Berani kerana benar. Tampillah ke hadapan untuk mendedahkan segala kemungkaran yang berlaku depan mata.
Seruan ikhlas ini khas saya tujukan kepada pegawai-pegawai agensi perisikan ATM dan Cawangan Khas yang mempunyai maklumat salahlaku “perompak” 1MDB ini. Jangan bersubahat kerana padah yang menanti kemudian hari amat buruk sekali.
Tidak lupa juga kepada pegawai-pegawai TUDM yang menjadi crew jet-jet rasmi kerajaan yang tahu tentang bagaimana pembaziran dilakukan oleh VVIP kita. Rakyat jelata berikat perut untuk berjimat tetapi pemimpin negara seronok membazir wang kerajaan.
Begitu juga dengan para pegawai kastam yang menyaksikan bagaimana barangan mewah bernilai jutaan ringgit yang dibeli oleh Datin Sri Rosmah Mansor “diseludup” masuk dan diyakini tidak dikenakan cukai samasekali. Amat menghairankan bagaimana seorang isteri kepada Perdana Menteri yang hanya seorang yang bertaraf surirumah mampu berbelanja sebegitu mewah. Dari mana puncanya wang yang dibelanjakan itu???
Tidak ketinggalan juga seruan saya ini ditujukan kepada pegawai/staf di misi-misi luarnegeri yang menjadi mangsa herdikan seperti hamba abdi oleh VVIP dan ahli keluarga mereka dalam urusan pembungkusan/pengiriman balik barangan mewah yang “dibeliborong” oleh mereka.
Ingatlah tentang tanggungjawab kita untuk menghentikan perbuatan mungkar manusia-manusia rakus ini…..sudah puas berbelanja barangan mewah dengan duit kotor…..cukaipun diyakini tidak dibayar. Ingat ye……apakah yang hendak kita jawab di hari akhirat nanti???
Ketika mati nanti jasad kita hanya dikafankan dengan kain putih yang tidak se mahal mana. Tiada Harley Davidson atau beg tangan Birkin yang akan dibekalkan bersama kita di liang lahat. Macamana nak bersiar-siar dan bershopping sakan dalam kubur yang sebegitu sempit itu nanti!!!
Sekian. Ini saja yang hendak saya tuliskan buat ketika ini. Saya akan terus berusaha mendedahkan kemungkaran oleh para pemimpin yang menyeleweng ini demi pertiwi tercinta.
Salam hormat dan salam perjuangan,
ABDUL HAMID BADOR.
1 OKT 2015.
Penafian: Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan kami.